~HAYATI ERTI KEMERDEKAAN YANG SEBENAR~
Tahun ini genap 56 tahun kita menyambut kemerdekaan negara. Ini bererti
sudah 56 tahun kita bebas dari penjajahan autokratik asing yang telah menjajah
kita sejak ratusan tahun yang lalu. Seiring dengan itu, Malaysia melangkah
pantas dalam pembangunan ekonomi dan insfrastrukur, menjadikan kita antara
negara terpantas maju kehadapan selepas mencapai kemerdekaan. Daripada sebuah
negara yang tiada apa-apa, Malaysia kini mula dikenali di serata dunia.
Pemimpin-pemimpin negara yang berkaliber bertindak cemerlang mentadbir
serta membangunkan negara demi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada
rakyat. Justeru, mereka juga boleh diiktiraf sebagai pejuang negara. Bezanya,
mereka berjuang selepas kemerdekaan, jadi mereka tidak perlu mengangkat senjata
atau menumpahkan darah. Sebaliknya mereka berpenat lelah memerah otak
memikirkan cara terbaik untuk menjadikan Malaysia lebih maju ke hadapan.
Definisi Kemerdekaan
Setiap orang tentunya memiliki cara yang berbeza dalam mentafsirkan
kemerdekaan. Malaysia pernah dijajah oleh beberapa kuasa asing hanya
mahu membolot hasil bumi negara. Ketika itu, pejuang tanah air kita
mentafsirkan kemerdekaan sebagai membebaskan negara daripada cengkaman
penjajah. Justeru, mereka berusaha keras dan sanggup berkorban jiwa dan raga
semata-mata mahu membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan, sekaligus
mencipta masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Tanpa kita sedari, masa begitu pantas berlalu. Jika dulu, kemerdekaan
bererti bebas dari penjajahan kuasa luar, kini jawapannya adalah berbeza sama
sekali. Rata-rata anak muda mentafsirkan kemerdekaan sebagai kebebasan
mengekspresikan pendapat tanpa sebarang sekatan daripada mana-mana pihak. Ada
pula yang mendefinisikan kemerdekaan sebagai perpaduan serta bebas dari
sebarang anasir-anasir luar yang cuba memusnahkan keamanan negara. Selebihnya
menyatakan bahawa masyarakat yang merdeka adalah masyarakat yang bebas bukan
sahaja dari segi penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mentaliti
diri.
Kenapa terdapat percanggahan dalam erti kemerdekaan?
Perkara ini terjadi kerana situasi masa kini tidak lagi sama seperti yang
dialami nenek moyang kita berpuluh-puluh tahun yang lalu. Generasi baru tidak
perlu merasa jerih-perih pejuang masa lalu kerana Malaysia tidak lagi
terbelenggu dalam penjajahan kuasa asing. Rakyat masa kini hidup dengan selesa
kerana disaluti keamanan dan kemakmuran. Mereka juga diberi peluang untuk
mengekspresikan kreativiti sekaligus berpeluang menyuarakan kehendak tanpa
sekatan.
Justeru, kita harus menghargai jasa dan pengorbanan nenek moyang kita yang
telah bertungkus lumus memerdekakan negara. Tanpa usaha keras mereka, kita
tidak akan dapat mengecapi apa yang kita perolehi sekarang.
Kemeriahan Sambutan Hari Kemerdekaan negara
Kemeriahan 31 Ogos dapat dirasa sejak awal bulan lagi. Apa sahaja yang
berlaku disekeliling kita, akan dikaitkan dengan kemerdekaan. Diskusi dan
cerita-cerita kemerdekaan memenuhi media cetak dan media massa, manakala
dendangan lagu-lagu kemerdekaan lama dan baru akan menghiasi corong-corong
radio hampir setiap masa.
Sementara itu, kibaran jalur gemilang yang megah dapat dilihat di
merata-rata tempat seperti di rumah-rumah, kenderaan, pejabat-pejabat, malah
sepanjang jalan di seluruh negara. Tatkala malam kemerdekaan menjelang pula,
orang ramai akan bersesak-sesak berkumpul kerana tidak mahu melepaskan peluang
untuk bersama-sama meraikan hari yang bersejarah, di samping melaungkan
kata-kata keramat, “Merdeka!” tepat jam 12 malam.
Namun semua keghairahan tersebut pasti akan hilang setelah selesainya
sambutan bulan kemerdekaan pada hari seterusnya. Semua kata-kata yang
berkobar-kobar tadi akan dilupakan dan perjalanan hari-hari seterusnya akan
berlangsung seperti biasa. Paling tidak, perbualan tentang hari kemerdekaan
akan berlangsung selama beberapa hari sebelum ia hilang sepenuhnya. Ia hanya
akan kembali apabila Ogos tahun seterusnya kembali.
Merdekakah generasi masa kini?
Rata-rata generasi muda masa kini sebenarnya meraikan hari kemerdekaan
tanpa memahami erti sebenar disebaliknya. Kebanyakan daripada kita menganggap
hari kemerdekaan sebagai hari untuk bersukaria bersama teman-teman, meraikan
kebebasan diri dan melaungkan perkataan merdeka dengan megah, tapi tidak
menghayatinya. Lebih menyedihkan, ada segelintir dikalangan kita yang mengambil
kesempatan ini untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral.
Pesta arak, dadah dan wanita menjadi satu cara mereka meraikan kebebasan
tanpa sekatan yang diperolehi. Mereka berpesta, mabuk-mabuk, dan menari seperti
orang gila sebelum semuanya berakhir lebih tragis. Sebilangan kecil yang lain
akan berkumpul beramai-ramai bersama teman-teman, bersemangat waja menunjukkan
semangat patriotisme mereka dengan berlumba secara haram di atas jalan raya di
saat orang lain telah mulai nyenyak diulit mimpi.
Mereka yang lebih patriotik dan memiliki semangat kepimpinan yang tinggi
biasanya akan mentafsir erti kemerdekaan dengan cara yang agak berbeza. Semangat
mereka yang berkobar-kobar untuk mengubah dunia, adakalanya dipergunakan oleh
sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memporak-perandakan keadaan.
Golongan ini biasanya lebih cenderung mengkritik dan menyalahkan orang lain.
Minda mereka selalunya dipenuhi dengan anasir-anasir negatif dan perasaan
ingin memberontak yang membuak-buak membuatkan mereka sanggup bertindak agresif
dan menimbulkan perasaan kurang senang dikalangan masyarakat. Niat mereka untuk
menambahbaik sistem negara adalah baik, cuma perlaksanaannya agak terpesong
sehingga menyebabkan keadaan agak huru-hara.
Secara tidak langsung, itu sebenarnya gambaran yang menunjukkan bahawa
kebanyakan daripada kita sebenarnya masih terbelenggu dengan anasir-anasir luar
yang cuba menjajah kita secara senyap. Kita lupa bahawa generasi terdahulu
telah berjuang bermati-matian untuk memerdekakan negara, tapi kita yang cuba
memusnahkannya secara senyap. Mungkin bukan semua, tapi ia sebenarnya barah
yang mungkin boleh merosakkan negara.
Tanggungjawab kita untuk kekalkan kemerdekaan
Sebagai rakyat
Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab generasi baru hari ini untuk mengenang
kembali perjuangan dan menghayati erti sebenar kemerdekaan. Hayati kemerdekaan
yang kita ada dengan sepenuh hati, supaya ia tidak akan tergadai kelak. Tugas
kita pada hari ini adalah untuk mempertahankannya dengan ilmu yang penuh di
dada. Tanpa ilmu pengetahuan yang tinggi, kemerdekaan yang diperolehi akan
menjadi sia-sia.
Kita juga perlu sentiasa bersiap sedia dalam memperkasakan bangsa yang
merdeka. Pelihara keamanan kemakmuran politik, ekonomi serta sosial yang ada.
Agama dan peradaban seni warisan bangsa juga tidak boleh ditolak ketepi. Segala
jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan
diperkukuhkan agar kita saling menikmati erti kemerdekaan yang sebenar.
Perpaduan yang terbina semenjak kemerdekaan diperolehi perlu diteruskan dan
disemai supaya hubungan rakyat menjadi semakin kukuh.
SELAMAT
MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-56! Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya
Darahku....dari Warga PKG Dato' Keramat