PROFIL



Pusat Kegiatan Guru Dato' Keramat, Jalan Timah 10150 Pulau Pinang
                                          

Penubuhan Pusat Kegiatan Guru (PKG) pada 14 Ogos 1990 selari dengan kehendak Kementerian Pendidikan ketika itu bagi merealisasikan konsep desentrasi terhadap kemudahan dan perkhidmatan bahan sumber pendidikan melalui penubuhan prasarana rangkaian pusat sumber seperti Pusat Sumber Sekolah (PSS), dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN). Penubuhan prasarana ini akan meluaskan konsep perkongsian sumber antara PSS, PKG, dan BTPN serta mengukuh dan meningkatkan prinsip akses maklumat dan sumber yang adil dan saksama dan menjamin kepelbagaian sumber dan maklumat yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pembelajaran individu di kalangan pelajar (Yusup,1992). Penubuhan PKG juga dijangkan akan menyokong rangkaian Bahagian Teknologi Pendidikan Kem.Pendidikan Malaysia yang sedia ada seperti BTPN dan PSS dalam memenuhi perubahan-perubahan pendidikan seperti perubahan kurikulum, perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran dan perubahan teknologi baru. 

Kepentingan teknologi baru seperti teknologi instruksional dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) boleh meningkatkan kemahiran guru seperti mengumpul, memproses, menyimpan, menyebar serta mendapatkan maklumat semula. Keseluruhan kemahiran ini boleh dicapai menggunakan sistem komputer serta telekomunikasi yang begitu canggih, cepat dan tepat. Implikasinya, pengwujudan PKG ialah membentuk guruguru supaya dapat memperluaskan dan memperoleh kemahiran baru, maklumat baru dan perubahan sikap serta penggunaan kaedah baru dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah khususnya apabila sekolah bestari akan dilaksanakan pada tahun 2005. Dengan lain perkataan, pendekatan baru dari segi pedagogi atau lebih tegas lagi strategi dan kaedah instruksional yang inovatif dan kreatif diperlukan untuk menggunakan ICT di sekolah atau dalam latihan. 

PKG diharap dapat menjadi pemangkin untuk merangsang pembangunan profesional guru-guru khususnya meningkatkan pengetahuan dan pembudayaan teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan dan pengurusan PSS. Ia selaras dengan matlamat pendidikan bestari dan Falsafah Pendidikan Negara. PKG juga dijadikan pusat perkembangan profesional untuk guru-guru dan masyarakat setempat.